Setuju potong gaji isi dana COVID-19

KOTA KINABALU, 10 JUN – Barisan Kabinet negeri Sabah dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju untuk melakukan potongan gaji bagi mengisi dana pengurusan COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata menteri dan pembantu menteri negeri Sabah membuat keputusan untuk melakukan potongan gaji 50 peratus selama dua bulan bermula bulan ini, manakala ADUN GRS melakukan potongan gaji sebanyak 30 peratus selama sebulan.

“Semua simpanan itu akan digunakan sebagai dana untuk membiayai pengurusan pandemik COVID-19…kami dalam kerajaan (negeri) GRS bersatu untuk terus bersama rakyat dalam menghadapi masa sukar ini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong dalam kenyataan berasingan  berkata penjawat awam negeri Sabah daripada Gred 29 hingga Gred Turus turut menyumbang kepada Tabung Bencana Negeri Sabah pada kadar yang sama dengan penjawat awam Persekutuan. – Bernama