SEOUL, 4 FEB – Seorang bintang K-pop yang didakwa mencabuli undang-undang antipelacuran Korea Selatan mungkin perlu menyertai khidmat tentera negara itu dan dibicarakan dalam mahkamah tentera.
Minggu lalu, pendakwa raya mendakwa bekas anggota kumpulan Big Bang, Seungri (gambar bawah) yang nama sebenarnya ialah Lee Seung-hyun mencabuli undang-undang pelacuran, perjudian haram dan perdagangan wang asing.
Agensi kerajaan, Pentadbiran Tenaga Kerja Tentera hari ini mengatakan ia sudah pun menghantar Seungri dokumen memintanya melaporkan diri bagi khidmat wajib tentera selama 12 bulan, satu kewajipan bagi lelaki sihat di Korea Selatan kerana pendakwa raya sudah menamatkan siasatan ke atasnya.
Ia menjelaskan bahawa ia bimbang satu perbicaraan di mahkamah sivil akan menjejaskan usaha untuk mewajibkan khidmat tentera ke atas Seungri, 29.
Menurut kenyataan itu, kes Seungri akan diserahkan kepada mahkamah tentera jika dia menyertai tentera. –AP





























