Seuntai kasih untuk pesakit kanser payudara

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu kanser payudara di negara ini seterusnya memberi sokongan kepada mangsa dan anggota keluarga kanser payudara, Kumpulan Sokongan Kanser Payudara
Brunei (BBC SG) menganjurkan Majlis Seuntai Kasih Bersamamu, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Serambi Batil Tarindak D’Seni, Jalan Subok di ibu negara itu diadakan sempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee yang turut menyampaikan cenderamata kepada mangsa barah berkenaan.

Datin Dr Hajah Noraslinah dalam ucapannya melahirkan harapan bahawa kumpulan berkenaan akan dapat dikembangkan dan dilaratkan bukan saja tertumpu pada penghidap kanser payudara tapi kepada semua penghidap kanser yang lain untuk menaikkan semangat dan memberikan sokongan padu dalam terus berjuang menghadapi ujian Allah.

Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada kumpulan berkenaan yang sangat
gigih dalam mencari alternatif untuk mengumpul dana tabung hingga dapat membantu pesakit kanser dari segi kewangan khususnya bagi penghidap kanser yang memerlukan pakaian khas, prostesis dan sebagainya.

Datin Dr Hajah Noraslinah ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Di samping itu, BBC SG juga banyak membantu penghidap kanser untuk lebih positif meneruskan hidup mereka dan percaya bahawa usaha yang tidak putus-putus dalam memeduli dan mengelinga penghidap kanser mampu mengubah masa depan mereka ke arah yang lebih cerah dan bermakna

Beliau seterusnya berharap, kumpulan berkenaan akan le-bih aktif mengadakan program outreach dan program kesed-aran serta pencegahan kanser payudara terutama dalam menyampaikan dan mengongsikan informasi mengenai kesihatan kepada semua lapisan masyarakat di pedalaman atau kampung-kampung.

Beliau seterusnya menambah, majlis berkenaan juga dapat menyaksikan penghidap kanser yang diraikan dipertemukan dengan sanak saudara, sahabat handai, rakan taulan dalam suasana santai dan bahagia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Di-Pertua BBC SG, Hajah Aminah binti Haji Momin; Naib Yang Di-Pertua BBC SG, Hajah Linda Aini binti Abdullah serta ahli-ahli BBC SG yang lain.

Majlis menyaksikan penyerahan seuntai kasih oleh ahli keluarga kepada pasangan dan ahli keluarga yang menghidap barah.

Di samping itu, majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh oleh Kumpulan Muslimah Masjid Universiti Brunei Darussalam seterusnya perkongsian pengalaman bersama Sharifah Hajah Aisah binti Saikh Said.