Sevilla benam Inter, julang trofi Liga Europa ke-6

COLOGNE, 23 OGOS – Pengurus Sevilla, Julen Lopetegui berkata bahawa dia tidak melihat kembali apa yang mungkin berlaku dengan Sepanyol dan Real Madrid setelah memimpin kelab Sepanyol itu menjuarai gelaran keenam Liga Europa apabila meraih kemenangan 3-2 ke atas Inter Milan dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan di Cologne.

Lopetegui dipecat sebagai pengurus Sevilla beberapa hari sebelum pembukaan Piala Dunia pada 2018 kerana menerima jawatan jurulatih Madrid dan kemudian juga dipecat oleh Real hanya empat bulan kemudian.

Tetapi pada musim pertamanya di Sevilla, bekas penjaga gawang Madrid dan Barcelona itu telah mengembalikan reputasinya dengan kedudukan di tempat keempat di La Liga dan mengalahkan pasukan gergasi Eropah, Inter, Manchester United dan Roma di Liga Europa.

“Nasib baik saya tidak menoleh ke belakang,” kata Lopetegui.

“Saya beruntung berada di sebuah kelab yang telah memberi saya peluang ini untuk bersama pasukan sebenar dan yang cukup bermakna.”

Pasukan Sevilla ketika meraikan trofi kemenangan Liga Europa UEFA selepas berjaya menewaskan Inter Milan pada 21 Ogos di Cologne, Jerman. – AFP

Sebaliknya, jurulatih Inter, Antonio Conte berkata waktunya di Milan mungkin akan berakhir selepas hanya satu musim walaupun menduduki tempat kedua di Serie A dan memimpin Inter ke final Piala Eropah buat pertama kali dalam 10 tahun.

“Adalah wajar bahawa kita membuat analisis sepanjang musim, melihat segalanya dalam cara yang sangat tenang dan berusaha merancang masa depan Inter, sama ada dengan atau tanpa saya,” kata Conte.

“Tahun ini akan sentiasa mendapat tempat di hati saya, ia merupakan tahun yang pelik dan memenatkan. Ia adalah pengalaman yang berharga dan luar biasa.”

Keputusan akhir mungkin sangat berbeza sekiranya Diego Carlos dilayangkan kad merah di minit ketiga perlawanan kerana menjatuhkan Romelu Lukaku.

Carlos hanya dilayangkan kad kuning sebelum Lukaku menjaringkan gol ke-34nya musim ini untuk menyamakan rekod Ronaldo pada musim pertamanya di Inter, yang berakhir dengan kemenangan perlawanan akhir Piala UEFA 1997/98.

Luuk De Jong tidak begitu menyerlah pada musim pertamanya di Sepanyol, tetapi pemain antarabangsa Belanda itu tampil tepat pada waktunya setelah berjaya menjaringkan gol kemenangan di separuh akhir perlawanan menentang United, menerusi hantaran lintang Jesus Navas dan kemudian melakukan tandukan ke sudut gawang untuk menyelamatkan perlawanan. – AFP