Sevilla benam Liverpool 2-1

NEW YORK, 22 JULAI – Alejandro Pozo meledak gol penentuan dalam kemenangan 2-1 Sevilla yang beraksi 10 orang ke atas Liverpool di Boston awal pagi tadi, kekalahan yang lebih memeritkan buat juara Eropah itu apabila pemainnya Yassert Larouci terpaksa diusung keluar.

Pengurus skuad The Reds, Jurgen Klopp berang dengan tindakan Joris Gnagnon mengasari Larouci pada minit ke-76. Gnagnon dilayangkan kad merah manakala Larouci terpaksa dikeluarkan selepas kepalanya terhantuk kuat di atas padang.

“Masih terlalu awal untuk saya memberi pendapat berkenaan situasi ini,” kata Klopp yang turut mengatakan Larouci bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius.

“Tetapi sudah tentu, perkara begini mengambil masa. Saya tidak tahu 100 peratus. Kelihatan seperti dia bernasib baik tetapi saya hanya sempat bercakap sekejap dengan doktor dan itu yang dia katakan, kita perlu tunggu.”

Walaupun skuad La Liga itu beraksi 10 orang, Liverpool masih gagal menambah jaringan dan Pozo meledak gol kemenangan pada minit ke-90 selepas mendapat hantaran daripada Munir El Haddadi dan menewaskan penjaga gol Livepool Simon Mignolet.

Sevilla mencipta banyak peluang di Fenway Park – halaman juara Siri Dunia Besbol Boston Red Sox. Kedua-dua kelab Red Sox dan Liverpool dimiliki oleh kumpulan yang diterajui John W Henry. – AFP