Sewa helikopter semata-mata ziarahi keluarga

COPENHAGEN, DENMARK, 29 OKT – Apakah yang akan dilakukan oleh seorang wanita berusia 104 tahun jika dia ingin menziarahi ahli keluarganya tetapi tidak boleh duduk dalam kereta untuk masa yang lama?

Margrethe Hansen, dari rumah persaraan Denmark kira-kira 174 kilometer dari kediaman anak lelakinya yang berusia 82 tahun dan cucunya, memilih menggunakan helikopter.

“Saya fikir ia merupakan cara terpantas,” beritahu Hansen kepada TV2 Denmark. “Saya tidak tahu kosnya, tetapi ia berbaloi.” Seorang cucu mengambil Hansen dari rumah persaraannya di pulau Funen dan memandunya ke lapangan terbang berhampiran di mana sebuah helikopter peribadi sedang menunggu. Dia membantu neneknya menaiki pesawat di mana dia duduk bersebelahan dengan juruterbang.

Penerbangan ke Stoevring di utara Denmark mengambil masa satu jam. Hansen melihat rumah baharu saudaranya dari udara dan melawat mereka sebelum pulang pada hari yang sama.

“Penerbangan pertama adalah yang terbaik. Perjalanan agak terenjut-enjut namun segala-galanya berjalan dengan lancar,” beritahu Hansen kepada TV2. – AP