KUCHING, 25 Sept – Sungai Semadang di Penrissen mempunyai potensi yang besar untuk maju sebagai produk dan destinasi pelancongan terpenting di Sarawak, kata Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Ik Pahon Joyik.
Menurutnya, pemandangan indah di sepanjang Sungai Semadang (bahagian hulu Sungai Sarawak Kiri), bermula dari Kampung Annah Rais hingga ke Kampung Git sangat mengagumkan dan digemari oleh pelancong dari luar negara.
“Sungai Semadang adalah satu kekayaan khazanah yang harus kita pelihara kerana ia adalah produk pelancongan yang sudah sedia ada dan perlu ditambahkan dengan pelbagai aktiviti seperti berakit dan berkayak,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Safari Rakit Padawan 2017 di Kampung Git semalam.
Beliau berkata kawasan Penrissen dan Padawan sememangnya kaya dengan produk ekopelancongan, selain tarikan rumah panjang tradisional Kampung Benuk dan Kampung Annah Rais. – Bernama
