Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shaa aktif berniaga di bazar Ramadan

    MENGAKUI tawaran mengadakan persembahan semakin berkurangan semenjak akhir-akhir ini, Shaa yang namanya mula dikenali lagu, Pertama Kali, mengambil keputusan untuk berniaga murtabak di bazar Ramadan.

    Menurut penyanyi yang berasal dari Kedah ini, dia tidak kekok untuk berniaga kerana ia  merupakan minatnya semenjak belum bergelar artis lagi.

    “Masuk bulan Ramadan undangan persembahan memang kurang dan daripada tak buat apa-apa lebih baik saya berniaga.

    “Kebetulan saya tengok tapak bazar di Seksyen 20, Shah Alam masih ada kosong jadi saya mohon,” katanya yang memilih untuk menjual Murtabak Popiah hasil air tangannya sendiri.

    Berniaga di bazar Ramadan bukanlah perkara baharu buat Shaa kerana pada tahun lalu penyanyi kecil molek ini juga turut berniaga di bazar Ramadan di Kuala Kedah dengan menjual Ayam Percik.

    Shaa akui seronok menjual murtabak popiah di bazaar Ramadan.

    Shaa atau nama lengkapnya Juzratul Nisha Johari, 23, juga berhasrat untuk membuka restoran sendiri tidak lama lagi.

    Bukan sudah berputus asa dalam bidang nyanyian, namun kata Shaa ia hanyalah perancangan untuk masa depannya, selain meneruskan minatnya dalam bidang perniagaan.

    “Kebetulan saya baru berpindah ke Shah Alam dan alang-alang berniaga, saya bercadang nak buka restoran yang menjual char kuey tiaw.

    “Sekarang pun ada rakan bantu saya cari lokasi sesuai dan harap-harap perancangan itu menjadi,” katanya yang dipetik dari sebuah portal hiburan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda