Shafie Apdal Ketua Menteri Sabah yang sah

KOTA KINABALU, 7 Nov – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri baharu Sabah adalah mengikut perlembagaan dan oleh itu beliau merupakan ketua menteri negeri yang sah.

Hakim Datuk Yew Jen Kie menegaskan bahawa Musa telah hilang keyakinan majoriti anggota Dewan apabila enam Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada Barisan Nasional beralih memberi sokongan mereka kepada Mohd Shafie.

Beliau memutuskan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin telah menggunakan kuasa beliau mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah untuk melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu Sabah setelah mendapati Musa tidak lagi mendapat keyakinan majoriti ADUN.

“Sejajar dengan Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Musa wajib berundur atau mengosongkan jawatan itu apabila beliau hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Berlandaskan sebab di atas, maka saya menolak saman pemula plaintif (Musa) untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri, ” kata beliau serta memerintahkan Musa membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Mohd Shafie dan Juhar.

Yew membuat keputusan itu setelah mendengar penghujahan daripada peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S.Vanugopal yang mewakili Musa, Datuk Douglas Lind, yang mewakili Mohd Shafie dan Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin, yang mewakili Juhar pada 24 Oktober.

Pada 17 Mei, Musa memfailkan writ saman terhadap Mohd Shafie, tetapi menariknya kembali. Bagaimanapun, pada Jun, beliau memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan mahkamah, bahawa, antara lain, beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah seperti yang dilantik Yang Dipertua Negeri pada 10 Mei.

Saman pemula tidak memerlukan perbicaraan dan peguam daripada kedua-dua pihak hanya memfailkan hujah serta afidavit bagi mengemukakan kes mereka, manakala writ saman memerlukan perbicaraan dengan memanggil saksi untuk memberi keterangan. – Bernama

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melambaikan tangan kepada penyokongnya selepas diumumkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, kelmarin. – Bernama