Shafie: DUN Sabah dibubarkan

KOTA KINABALU, 30 JULAI – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Terdahulu, Mohd Shafie mengadap Tun Juhar di Istana Negeri di sini dan kenderaan yang membawa ketua menteri itu dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 8:25 pagi.

Mohd Shafie berkata beliau telah memohon perkenan daripada Tun Juhar untuk membubarkan DUN dan Tuan Yang Dipertua telah memperakukannya.

“Saya masih menjalankan tugas-tugas sebagai ketua menteri dalam tempoh pembubaran tersebut,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen blok kerajaan.

Beliau berkata rakyat Sabah yang menentukan kerajaan Sabah, bukan pihak lain.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menunjukkan surat watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas mengumumkan pembubarannya bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah kelmarin. – Bernama

Perkembangan politik di negeri ini menjadi hangat apabila bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman semalam mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Sabah.

Ketika ini, DUN Sabah mempunyai 65 kerusi dengan blok kerajaan menguasai 45 kerusi manakala blok pembangkang 20 kerusi. Blok kerajaan terdiri daripada Warisan (31 kerusi), DAP (6), UPKO (2), PKR (2) dan ADUN dilantik (4), sementara blok pembangkang pula merangkumi Bersatu (9), PBS (4), STAR (3), Bebas (2), UMNO (1) dan ADUN dilantik (1).

Mohd Shafie dilantik sebagai ketua menteri pada 12 Mei, 2018 dan pembubaran DUN itu dibuat setelah kerajaan negeri pimpinannya memerintah selama kira-kira 26 bulan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Warisan memperoleh 21 kerusi DUN, manakala rakan-rakan parti daripada PH mempunyai lapan kerusi masing-masing iaitu DAP (enam) dan PKR (dua).

Bagaimanapun, jumlah kerusi DUN diperolehi Warisan dan rakan politiknya dalam PH pada ketika itu sebanyak 29, belum mencapai majoriti mudah untuk membolehkan parti berkenaan membentuk kerajaan dan memerlukan kerusi tambahan lain.

Warisan kemudian mempunyai kerusi mencukupi sebanyak 35 daripada 60 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan berasaskan majoriti mudah berikutan tindakan enam ADUN Barisan Nasional (BN) menyeberang ke parti tersebut.

Rentetan daripada itu, Mohd Shafie mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-15 di Istana Negeri pada 12 Mei 2018, sekali gus menggantikan gabungan BN dan STAR pimpinan Musa dalam tempoh 48 jam selepas hilang majoriti mudah.

Pada PRU14, BN memenangi 29 kerusi DUN, manakala STAR dua kerusi. – Bernama