Shafie: Isu tuntutan royalti petroleum diselesai tahun depan

KOTA KINABALU, 19 NOV – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu supaya isu tuntutan kerajaan negeri terhadap royalti petroleum daripada kerajaan persekutuan diselesaikan tahun depan.

Shafie berkata beliau tidak mahu isu tuntutan tersebut berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang dan sekali lagi dimasukkan dalam manifesto pilihan raya.

“Seboleh-bolehnya kita atasi tahun depan, itu pendirian kita (kerajaan negeri) dan saya tidak mahu tunggu lama kerana kewangan kita seperti yang bentangkan Belanjawan 2020 menurun ada sebab,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Masidi Manjun (Karanaan-Bersatu) yang mahu kerajaan negeri memberikan tempoh masa dalam tuntutan royalti minyak daripada kerajaan persekutuan.

Mohd Shafie turut menyangkal dakwaan kononnya perjuangan kerajaan negeri yang beliau terajui terhadap tuntutan royalti itu tiada kejayaan kerana daripada 21 tuntutan yang dibuat lapan daripadanya telah dipersetujui.

Katanya salah satu adalah pemberian khas geran persekutuan daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta pada Belanjawan 2020 kerajaan persekutuan.

“Ini tidak pernah dilakukan sejak 1970an dan tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini menyaksikan kenaikan 100 peratus,” katanya. – Bernama

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) membincangkan sesuatu dengan Timbalannya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sebelum sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri Sabah. – Bernama