Shafie: Kerajaan Sabah komited bangunkan negeri

KOTA KINABALU, 11 Sept – Kerajaan Sabah komited memacu pembangunan negeri ke tahap lebih baik agar lebih berdaya saing, dinamik, makmur serta menyejahterakan kehidupan rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata dalam kerangka itu Sabah mempunyai segala-galanya untuk muncul sebagai satu kuasa ekonomi.

“Aset paling utama Sabah adalah keluasan tanah untuk aktiviti pertanian dan perladangan, sumber alam yang banyak di samping keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian masyarakat yang menjadi daya tarikan dalam sektor pelancongan.

“Jika segala perancangan berjalan lancar, insya-Allah Sabah bukan sahaja menjadi antara negeri yang pesat membangun, malah tiada kumpulan rakyat yang akan ketinggalan untuk menikmati arus pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2018, di sini hari ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudin dan isteri  Toh Puan Norlidah Datuk R.M Jasni, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong dan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata kesatuan dan perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan adat resam di negeri ini menjadi kunci kepada kepesatan pembangunan di Sabah.

“Ia adalah hasil daripada sikap masyarakat yang kaya dengan perasaan saling menghormati dan menerima kepelbagaian yang wujud sebagai sinergi untuk melestarikan keharmonian hidup beragama dan bermasyarakat di Sabah,” katanya. Mengulas kes penculikan dua lelaki di perairan Semporna tengah malam tadi, Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata pihaknya telah mengarahkan pihak berkuasa untuk melaksanakan tindakan susulan.

“Saya difahamkan kedua-dua mangsa culik itu adalah warganegara Indonesia… walaupun mangsa itu adalah warganegara Indonesia namun kita akan berusaha sedaya upaya untuk membantu.

“Kita akan memperketat kawalan dan rondaan dan kita juga akan tingkatkan risikan untuk mengetahui di mana keberadaan mangsa itu untuk membolehkan pihak berkuasa kita melakukan tindakan susulan,” katanya. – Bernama