PETALING JAYA – Aktres yang juga isteri kepada pelakon Shaheizy Sam iaitu Syatilla Melvin selamat melahirkan anak lelaki kira-kira pukul 10 pagi Selasa.
Anak sulung tersebut dilahirkan di Pusat Perubatan Ampang Puteri.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 34, menerusi laman sosial Instagramnya menzahirkan rasa syukur terhadap rezeki yang dikurniakan itu.
“Alhamdulillah, terima kasih atas doa yang baik-baik daripada anda semua. Apa nak bagi nama dia ek?,” tulisnya.
Sementara itu, ibu kepada aktor berkenaan iaitu Khaty Fauziah turut meluahkan rasa gembira apabila kedua-dua ibu dan anak tersebut berada dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah, selesai sudah… hari ini 9.05.2017 lahirnya seorang insan lelaki. Tahniah anakandaku,” ujarnya.
Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin sah bergelar suami isteri pada 8 Februari 2016 dalam sebuah majlis yang berlangsung di Bukit Jawi Golf Club Pulau Pinang.