Dalam debaran menantikan bakal bergelar suami minggu ini, nama Shahir Zawawi terpalit dengan kontroversi apabila ada pihak membangkitkan soal kegagalan penyanyi itu menjelaskan hutang.
Dipercayai berhubung pembayaran berkaitan kerja-kerja dalam industri seni, seorang pengguna laman sosial mendedahkan perkara itu menerusi ruang komen sebuah portal berita yang memaparkan artikel mengenai penyanyi tersebut.
Menjawab dakwaan berkenaan, Shahir atau Ahmad Shahir Zawawi, 34, berkata, dia tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut dan perlu menyemak semula komen dibuat individu berkenaan.
“Saya tidak tahu tentang cerita tersebut. Sekarang ini sibuk menguruskan hal perkahwinan, jadi tak sempat nak ambil tahu.
“Saya kenalah semak dahulu apa yang diperkatakan sebab tidak tahu hujung pangkalnya,” katanya kepada wartawan.
Menerusi ruangan komen di portal berita berkenaan, seorang individu yang juga pekerja industri hiburan mendakwa mengalami kerugian ekoran wang pembayaran tugas dalam sebuah acara gagal dilunaskan penyanyi tersebut.
Komen tersebut juga mendapat sokongan seorang lagi individu yang mendakwa perkara sama turut terjadi kepada beberapa buah syarikat pengurusan artis lain.
“Bayar hutang dulu baru nikah. Aku yang hidup ni pun dia buat senyap sahaja. AF Megastar aku rugi dekat RM4,000. Duit aku sendiri tu,” komen individu berkenaan.
Sementara itu, berkongsi mengenai pernikahannya dengan Jaskin Jaludin pada 2 September ini, Shahir memberitahu sedang sibuk melakukan persiapan namun ia membantu mengurangkan debaran bergelar suami. – Agensi