Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shahmalarani sedia hadapi Liga Premier Karate 1

    KUALA LUMPUR, 10 JAN – Atlet karate wanita Malaysia, C. Shahmalarani bersiap sedia untuk menghadapi Liga Premier Karate 1 2025 selepas menjalani latihan intensif selama dua minggu di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

    Jurulatih kumite kebangsaan Malaysia, S. Senthil Kumaran berkata atlet berusia 26 tahun itu menjadi wakil tunggal Malaysia yang layak berdasarkan ranking dunia dalam acara bawah 50 kilogram untuk bertanding dalam kejohanan berprestij yang menghimpunkan atlet terbaik dunia.

    “Kami bercadang untuk menghantar beliau menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan Liga Premier, bermula di Paris dari 24 hingga 26 Januari ini. Sebagai satu-satunya atlet yang layak, Shahmalarani menunjukkan prestasi baik untuk menghadapi Liga Premier selepas berlatih di AS, baru-baru ini.

    “Selain itu, acara utama kami tahun ini ialah Sukan SEA di Thailand pada bulan Disember, dan beliau akan mempertahankan pingat emas yang dimenanginya,” kata pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2014 itu kepada Bernama.

    Senthil Kumaran berkata pasukan kejurulatihan juga sedang mempertimbangkan untuk menghantar atlet karate Malaysia yang lain bertanding pada kejohanan lain, termasuk Karate 1 Siri A walaupun keputusan itu masih belum dimuktamadkan. 

    Sementara itu, beliau berkata atlet kebangsaan akan menghadapi ujian utama pada Kejohanan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang dijangka diadakan bulan depan, Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) pada April dan Kejohanan Asia (Mei).

    Kejohanan SEAKF dan Asia akan menjadi acara penting pemilihan skuad Sukan SEA.

    Senthil Kumaran berkata, skuad Sukan SEA, termasuk sasaran kategori dan persembahan akan dimuktamadkan selepas Kejohanan SEAKF dan Asia, apabila kemampuan atlet negara diuji ketika menentang pencabar terbaik dari rantau ini.

    “Kami mempunyai beberapa atlet yang bertanding dalam kategori sama, manakala dalam beberapa kategori lain, kami kekurangan atlet kerana mereka sedang pulih daripada kecederaan,” tambahnya. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda