Shahrazen wira DPMM FC

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Mohammad Shahrazen Said muncul wira Pasukan Brunei DPMM FC selepas jaringannya di saat-saat akhir perlawanan mengesahkan kemenangan penting 3-2 ke atas Pasukan Hougang United FC dalam saingan Liga Perdana Singapura di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi.

Brunei DPMM FC, yang berusaha merapatkan jurang mata dengan pasukan di tangga ketiga Liga Perdana Singapura iaitu Home United, bermula garang apabila berjaya memecahkan benteng pertahanan Hougang seawal minit ke-6 menerusi penyerang berbisa Volodymyr Priyomov.

Namun kelebihan pasukan tuan rumah hanya bertahan sehingga minit ke-31 apabila Hougang menyamakan kedudukan menerusi jaringan Fabian Kwok dan kedudukan kekal 1-1 di separuh masa pertama.

Antara aksi perebutan bola antara pemain Brunei DPMM FC dan Hougang United FC dalam saingan Liga Perdana Singapura semalam. – Gambar oleh Khairil Hassan

Di separuh masa kedua, Brunei DPMM FC kembali mendahului perlawanan hasil jaringan Adi Said, tetapi kegembiraan pasukan dan penyokong tuan rumah tidak lama apabila kedudukan menjadi 2-2 menerusi jaringan Fareez Farhan.

Ketika perlawanan semakin hampir ke penghujungnya, di mana Brunei DPMM FC kelihatannya terpaksa akur dengan satu mata sekali lagi, Shahrazen Said muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-90 sekali gus memastikan tiga mata penuh di laman sendiri.

Saingan Brunei DPMM FC seterusnya adalah menentang pasukan di tangga kedua liga, Tampines Rover, pada 18 Julai di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Ia adalah peluang terbaik buat Brunei DPMM FC, yang empat mata di belakang Tampines ketika ini, untuk merapatkan jurang mata antara kedua pasukan.