Shahrel Fikri mahu cabar pemain import

KUALA LUMPUR, 13 APRIL – Selepas menampilkan rentak permulaan yang sempurna musim ini, Shahrel Fikri Fauzi tekad mahu memberikan cabaran sengit kepada barisan penyerang import untuk memburu status selaku penjaring terbanyak saingan Liga Super 2020.

Penyerang Perak berusia 25 tahun itu merupakan satu-satunya pemain tempatan yang berjaya menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan, sebelum Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menangguhkan liga pada 16 Mac lepas berikutan penularan wabak COVID-19.

Seperti biasa, pemain import menguasai carta penjaring apabila penyerang dari Mauritania, Dominique Da Sylva yang beraksi untuk Terengganu FC, muncul penjaring terbanyak dengan empat gol, manakala Kpah Sherman (Kedah), Ivan Carlos (Pahang) dan Ifedayo Omosuyi (Selangor) masing-masing menjaringkan tiga gol.

Berdasarkan prestasi itu, bekas pemain kelab Thailand, Nakhon Ratchasima FC itu, berasa tidak mustahil untuknya cuba mengatasi penguasaan ‘awang’ import pada tahun ini dengan memastikan beliau terus diberi kepercayaan sebagai tonggak utama skuad ‘The Bos Gaurus’.

“Saya memang tidak sangka sekarang saya satu-satunya pemain tempatan yang berada dalam kelompok penjaring kedua terbanyak bersama pemain import lain, namun ini masih awal dan saya tidak boleh berasa selesa. – Bernama