Sham Visa belum berundur dari dunia muzik

Biarpun agak lama Sham Visa, 50, menyepi, ia bukan bermakna penyanyi jolokan Tony Stark itu sudah berundur dalam dunia persada muzik.

Persepsi itu timbul apabila laman sosial, Instagram (IG) penyanyi lagu Dalam Gerimis itu sudah lama tidak dikemas kini, sekali gus mencetuskan tanda tanya ke mana Sham menghilang.

Sham atau nama sebenarnya, Rohisham Hashim, 50, mengakui, dia tidak aktif dalam IG berikutan akaun berkenaan tidak diselenggarakan sendiri, sebaliknya aktif dalam Facebook.

Penyanyi yang kembali meraih populariti selepas membuat kemunculan dalam program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim keenam pada 2019 berkata, dia belum berundur daripada bidang seni.

Sebaliknya, katanya, banyak aktiviti seni tergendala disebabkan pandemik COVID-19 yang sudah hampir dua tahun menyerang negara. Bagaimanapun, vokalis kumpulan Visa itu berkata, dia yakin bukan dirinya sahaja terkesan akibat pandemik, sebaliknya, semua penyanyi menerima kesannya.

Sham Visa mengakui dia tidak aktif dalam IG berikutan akaun berkenaan tidak diselenggarakan sendiri, sebaliknya aktif dalam Facebook. – Agensi

“Saya yakin semua penyanyi terjejas, malah ada yang kehilangan kerja gara-gara pandemik. Tidak dinafikan, memang ada beberapa kerja seni tergendala, namun, kini syukur aktiviti seni baru sahaja bergerak semula.

“Kita sudah hampir dua tahun berada dalam fasa pandemik, jadi saya mungkin disangka tidak aktif dalam bidang seni. Saya seorang yang fleksibel, jika tidak menyanyi, saya berlakon, begitulah sebaliknya.

“Kini, saya sibuk sebagai tenaga pengajar di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH). Saya melatih pekerja yang bekerja di tempat tinggi dengan selamat, memandangkan kita menjalani Pelan Pemulihan Negara (PPN), jadi saya kini sibuk memenuhi kelas tertunda,” katanya.

Berada di kedudukan keenam dalam program GV 6, Sham berkata, bidang seni hanya sekadar hobi yang serius. Malah, katanya, pada usianya bukan populariti yang ingin dikejar, sebaliknya lebih senang memberikan laluan kepada generasi muda.

“Saya sudah lama berada dalam bidang seni, jadi tidak ambil serius soal populariti. Lagipun, ini bukan zaman saya, jadi saya kembali semula sekadar suka-suka.

“Ini zaman generasi muda, jadi tiada apa lagi yang ingin saya kejar. Namun, saya berterima kasih kepada peminat yang mengangkat saya.

“Saya terkejut dan tidak sangka diberikan peluang sekali lagi menyemarakkan dunia seni.

“Bagaimanapun, seperti dikatakan, sekiranya ada undangan berlakon dan menyanyi, saya terima. Insya-Allah, saya bersama kumpulan Visa bakal mengadakan ‘showcase’ pada bulan depan, tetapi tarikh dan lokasi masih belum diputuskan lagi,” katanya.

Sementara itu, Sham memberitahu, dia kini menguruskan kerjaya sendirian tanpa syarikat pengurusan. Sebelum ini kerjaya seni diuruskan syarikat Mind Order, namun kontraknya selama dua tahun sudah berakhir. – Agensi