Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Shanghai benarkan ibu bapa bersama anak dijangkiti covid

    BEIJING, 6 APRIL – Susulan kekecohan awam, Shanghai hari ini membenarkan sebahagian ibu bapa kekal bersama anak mereka yang dijangkiti COVID, menjadikan ia satu pengecualian dalam dasar pengasingan sesiapa sahaja yang diuji positif koronavirus.

    Pengumuman dibuat ketika bandar terbesar China itu terus dikenakan perintah berkurung dan menjalankan lebih banyak ujian saringan hari ini susulan peningkatan dalam kes baharu.

    Seorang pegawai tertinggi bandar itu dalam satu sidang media berkata, ibu bapa boleh memohon untuk bersama anak-anak yang ‘berkeperluan khas’ dan menemani mereka jika mereka memahami risiko kesihatan dan menandatangan satu perjanjian.

    Ibu bapa bagaimanapun mesti memakai pelitup muka, makan pada masa berlainan daripada anak-anak mereka, mengelak berkongsi barangan dan mesti mengikuti semua peraturan itu sebaiknya, kata Wu Qianyu dari Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Shanghai. Dia bagaimanapun tidak menerangkan apa yang dimaksudkan dengan kelayakan anak-anak ‘berkeperluan khas.’

    Pengumumannya dibuat berikutan laporan media kerajaan China sehari sebelumnya yang mengatakan bahawa tempat pengasingan telah pun dikhaskan di Pusat Ekspo Antarabangsa Baharu Shanghai yang menerima kanak-kanak bersama ibu bapa mereka. Bandar itu telah membuka pusat pengasingan luas bagi berpuluh-puluh ribu orang mengasingkan diri setelah jumlah kes positif semakin mencanak.

    Laporan ibu bapa perlu diasingkan daripada anak-anak yang dijangkiti COVID telah mencetuskan satu gelombang bantahan online minggu lalu, disemarakkan oleh gambar menunjukkan beberapa orang kanak-kanak masing-masing dalam setiap katil tanpa kehadiran ibu bapa mereka.

    Shanghai melaporkan 17,077 kes baharu sehari sebelumnya, namun semua kecuali 311 daripadanya tidak menunjukkan gejala. Di bawah pendekatan sifar-COVID China, bandar itu memerlukan semua yang diuji positif diasingkan di lokasi tertentu bagi pemantauan, bersama dengan kontak terdekat mereka.

    Jumlah terbaharu itu membawa kes keseluruhan Shanghai kepada 90,000 dalam penularan yang bermula bulan lalu. Tiada kematian direkodkan bagi penularan dipacu varian Omicron BA.2 itu yang lebih mudah berjangkit namun kurang teruk berbanding varian Delta sebelum ini. Hanya dua kematian dilaporkan di wilayah lain, Jilin di timur laut China. – AP

    Gambar diambil pada 5 April menunjukkan kanak-kanak bermain di kawasan perumahan yang dikenakan perintah berkurung kerana penularan COVID di Shenyang, wilayah timur laut Liaoning, China. China mengendurkan sedikit peraturan dengan membenarkan ibu bapa bersama anak-anak yang dijangkiti COVID. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Amaran ribut hujan tertinggi dikeluarkan

    BEIJING, 23 APRIL - Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang membawa maut di selatan China, dengan kerajaan mengeluarkan amaran...