Shaqiri bantu pasukan benam Turki

BAKU, 21 JUN – Xherdan Shaqiri menjaringkan dua gol ketika Switzerland menewaskan Turki 3-1 di Baku kelmarin tetapi mereka terpaksa menunggu sekiranya mereka mara ke peringkat kelompok 16 terakhir Euro 2020.

Wales masih mengekalkan kedudukan di tangga kedua dalam Kumpulan A dengan perbezaan gol selepas mereka dikalahkan Itali 1-0.

Gol Shaqiri hadir selepas Haris Seferovic menjaringkan gol pembukaan dan Irfan Kahveci menjaringkan gol tunggal buat Turki dalam kejohanan.

“Untuk beberapa hari akan datang saya tidak dapat melakukan apa-apa. Kami terpaksa menunggu,” kata jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic. “Saya merasa optimis kami akan mara ke peringkat seterusnya.”

Ketua jurulatih Turki, Senol Gunes berkata dia tidak akan meletak jawatan walaupun pasukannya menamatkan kedudukan paling bawah peringkat kumpulan.

Reaksi Xherden Shaqiri meraikan gol semasa bertemu Turki di Baku, baru-baru ini. – AP

“Saya tidak terfikir untuk meletak jawatan ketika ini,” kata Gunes.

“Saya sangat sedih disingkirkan dengan cara sebegini. Pasukan ini cukup bagus untuk mengatasi semua ini. Saya menaruh kepercayaan terhadap bakat mereka.”

Petkovic membuat dua pertukaran dari kekalahan teruk di tangan Itali, termasuk memberikan peluang kepada Steven Zuber untuk memulakan perlawanan.

Gunes membawa kembali pemain pertahanan Merih Demiral selepas menggugurkan pemain pertahanan Juventus tersebut, dengan pasukannya memburu untuk mengelak dari mencatatkan kekalahan ketiga berturut-turut buat pertama kali sejak Euro 1996.

Switzerland membuka jaringan seawal minit keenam, di hadapan 17,000 penyokong Turki.

Seferovic membuat percubaan rendah melepasi penjaga gol Turki, Ugurcan Cakir untuk mencatat gol ke-22 di peringkat antarabangsa, selepas menerima hantaran bola daripada Zuber. Zuber sekali lagi terlibat dalam gol kedua 20 minit kemudian, di mana hantarannya terlantun terkena pemain sayap Eintracht Frankfurt. Bekas pemain Hoffenheim menghantar bola kepada Shaqiri untuk menyudahkan melalui percubaan menarik menewaskan Cakir. – AFP