Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sharapova isi masa bertinju, melancong

    MOSCOW, 2 Feb – Maria Sharapova (gambar) menolak untuk melayan perasaan sedihnya ketika menjalani tempoh penggantungan doping, malah bijak mengisi masanya dengan belajar di Harvard, menulis buku serta turut mempelajari tinju.

    Bekas pemain nombor satu dunia tenis dan pemenang lima kali Grand Slam itu kini aktif menikmati sukan tinju yang menjadi sebahagian daripada rejim kecergasannya.

    “Saya mencuba bertinju kerana perlu mengekalkan prestasi yang baik. Ia hebat apatah lagi sekiranya saya boleh membayangkan beberapa orang yang saya ingin pukul,” kata pemain berusia 29 tahun itu tanpa mengulas siapa individu yang dimaksudkannya.

    Sharapova digantung daripada sukan tenis selepas didapati positif meldonium pada Terbuka Australia 2016.

    Namun, dia dijadual kembali beraksi di kejohanan tanah liat Stuttgart pada 26 April ini selepas penggantungan dua tahunnya dikurangkan kepada 15 bulan. Kemunculan semula itu nanti hadir selepas tujuh hari dia menyambut hari lahirnya yang ke-30.

    “Saya tahu, saya sangat bagus dalam soal mengisi masa rehat,” kata Sharapova ketika ditanya apakah yang dipelajarinya ketika tempoh penggantungan.

    “Sebenarnya, saya tidak boleh membayangkan apa yang boleh dilakukan apabila terlalu banyak masa rehat. Saya mempunyai kira-kira 12 bulan untuk berfikir, membaca buku dan sebagainya.

    “Saya juga bercuti di Croatia, menyambut Tahun Baru di Hawaii. Sebelum ini, saya tidak pernah ke London sebagai seorang pelancong. Saya tidak dapat menyaksikan banyak perkara di sana ketika bermain di Wimbledon.”

    Sharapova yang melanjutkan pelajarannya di Pusat Pengajian Perniagaan Harvard turut terbabit dalam penulisan sebuah buku mengenai dirinya.

    “Saya menulis sebuah buku yang bakal dipasarkan September ini. Untuk edisi awal, ia dalam bahasa Inggeris dan kemudian diterjemah kepada Bahasa Russia.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda