Share Ride rangsang kadar kemudahan pengangkutan awam

Gambar serahan BSP

BELAIT, 14 SEPT – Dalam usaha untuk merangsang kadar kemudahan pengangkutan awam dan meningkatkan mobiliti awam di Daerah Belait, projek rintis Share Ride telah dilancarkan hari ini untuk menyediakan akses kepada perkhidmatan pengangkutan atas permintaan.

Projek rintis selama tiga bulan berkenaan merupakan kerjasama antara DART dan Aziz Latif Company (ALC) dengan sokongan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BSP, pencapaian penting berkenaan diharapkan untuk merangsang lagi inisiatif-inisiatif In-Country Value (ICV) yang diperjuangkan oleh BSP bagi negara menerusi penubuhan peluang-peluang perniagaan mapan dan pengambilan tenaga kerja baharu di Daerah Belait dan daerah-daerah lain. Ini pada masa yang sama memberikan penyelesaian baharu bagi pergerakan awam yang lebih meluas dan pengangkutan awam yang boleh diakses bagi masyarakat di daerah berkenaan.

Pengurus ICV BSP, Hajah Rosita binti Haji Hassan dipetik menjelaskan bahawa Share Ride menyediakan satu lagi pengangkutan awam, yang seterusnya akan memenuhi keperluan dan merangsang status sosioekonomi masyarakat.

“Pada masa hadapan, kami berharap untuk melihat lebih ramai pemandu yang juga akan menjana lebih banyak peluang-peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan,” tambah beliau.

Kenyataan menjelaskan, perkhidmatan berkenaan akan membolehkan masyarakat di daerah berkenaan untuk menempah pengangkutan bagi penggunaan peribadi menggunakan aplikasi DART yang boleh dimuat turun menerusi Apple Apps Store atau Google Play Store. Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Teknikal, Yap Kong Fah menekankan bahawa keselamatan adalah keutamaan mereka yang mana, menurutnya, kereta-kereta dalam keadaan baik dan pemandu-pemandu dari ALC adalah terlatih.

“Kami mengharapkan pemandu-pemandu kami untuk terus menekankan kepentingan keselamatan jalan raya dan menjadi contoh bagi pemandu-pemandu lain bagi memastikan bahawa semua orang pulang ke rumah dengan selamat,” ujar beliau sambil menggalakkan semua orang untuk memanfaatkan perkhidmatan berkenaan dan menyokong usahawan tempatan.

Menurut kenyataan, projek berkenaan akan menggunakan kereta-kereta ALC di samping pemandu terlatih, memberikan sokongan tambahan kepada pasukan DART yang sedia ada.

Sesi bergambar wakil dari BSP, ALC dan DART semasa pelancaran projek rintis Share Ride.
Salah sebuah kenderaan DART yang digunakan dalam projek rintis Share Ride.