Pernah dikecam hebat dan digelar ‘kayu’, ia tidak mematahkan semangat pelakon Sharifah Rose untuk terus berada dalam industri seni.
Sharifah atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 23, berkata, setiap kali menerima tawaran berlakon dia meletakkan niat untuk belajar dan mahu menimba lebih banyak ilmu dalam lakonan.
Katanya dia sedar bukan semua orang dikurniakan bakat semula jadi dalam bidang ini.
“Setiap kali dapat tawaran berlakon drama niat saya yang pertama untuk belajar sebab saya sedar perlu banyak belajar dan perbaiki diri.
“Kalau dekat set saya suka apabila ada orang menegur, jadi apabila ada yang kritik saya tahu apa salah saya,” ujarnya kepada media.
Sharifah ditemui ketika sidang media drama 3 Nota Cinta yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut Sharifah lagi, dia turut mengikuti kelas lakonan biarpun sibuk dengan jadual penggambaran.
“Sebelum ni saya ada ikut kelas lakonan cuma sekarang jadual lakonan padat jadi tidak sempat hendak pergi kelas.
“Biasanya kalau sebelum pergi kelas saya akan bawa skrip supaya dapat belajar sebelum masuk ke set penggambaran,” ujarnya.
Sharifah Rose sebelum ini menjadi perhatian menerusi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard lakonannya bersama Redza Rosli di TV3.
Selain Sharifah Rose, pelakon yang turut membintangi drama 3 Nota Cinta ialah Ashrah Muslim, Wani Kayrie dan ramai lagi. – Agensi