Sharifah Sakinah sudah bercerai Mei lalu?

Spekulasi mengenai hubungan rumah tangga Sharifah Sakinah dan suaminya juruterbang Aliff Adha akhirnya terjawab apabila aktres itu tampil mengesahkan hubungan itu berakhir pada Mei lalu.

Sakinah menerusi media memberitahu, dia dan Aliff sudah tidak tinggal sebumbung sejak Mac lalu.

“Kami berpisah secara rasmi pada Mei lalu.

“Tapi kami berpisah dengan baik. Keputusan ini juga perlu mengambil kira anak kami, Anais Adha yang berusia tiga tahun,” katanya.

Sebelum ini, hubungan pasangan ini dihidu bermasalah apabila Aliff dikatakan secara terbuka menggunakan aplikasi ‘dating’ untuk bersosial di Internet.

Sementara itu, ditanya jika perpisahan tersebut disebabkan orang ketiga, pelakon drama Girlfriend Aku Dari Neraka ini menafikan perkara itu.

“Saya tidak boleh jadi isteri yang baik. Saya sedar kekurangan diri. Soal dia nak guna aplikasi ‘dating’… itu haknya. Suka hati dialah nak buat apa, saya tak campur.

“Selebihnya, biarlah saya dan dia bahagia dengan cara masing-masing… Itu sebaik-baiknya,” katanya.

Sakinah dan Aliff berkahwin pada 28 Mac 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. – Agensi

Sharifah Sakinah mendedahkan bahawa dia dan Aliff sudah tidak tinggal sebumbung sejak Mac lalu. – Agensi