Sharnaaz, Nabila sah bercerai

Kemelut rumah tangga pelakon Sharnaaz Ahmad dan ahli perniagaan Noor Nabila berakhir apabila pasangan itu disahkan bercerai pada 9 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Memetik laporan Harian Metro, kakak kepada pengacara Neelofa itu berkata keputusan untuk berpisah dibuat dengan hati terbuka daripada kedua-dua belah pihak.

“Saya syukur proses ini berjalan dalam keadaan saya dan Sharnaaz dalam hubungan yang baik. Jadi kita terima dengan hati terbuka dan akur ketentuan Allah SWT.

“Kami anggap apa yang berlaku jodoh tak panjang dan tak pernah fikir jodoh kami sampai di sini saja. Lagipun mana ada orang kahwin nak bercerai.

“Kami berdua berharap boleh bekerjasama dengan baik untuk besarkan anak tunggal, Jebat Jayden. Itu yang paling penting.

“Jayden tak perlu terkesan dengan apa yang terjadi antara kami. Kalau kami berdua boleh uruskan dengan baik, Insya-Allah. Saya akan cuba apa terbaik untuk anak saya,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Nabila berkata, dia dan Sharnaaz masih berkawan dan saling menukar pandangan dan pendapat terutama dalam hal membesarkan anak mereka.

Malah, Noor Nabila berterima kasih kepada Sharnaaz kerana membantunya menjadi ibu yang terbaik buat Jebat Jayden. – Agensi

Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila disahkan bercerai pada 9 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.