Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Sheikh Dr Al-Issa dilantik penyampai khutbah Arafah

    MEKAH, 6 JULAI – Kerajaan Arab Saudi bersetuju melantik Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa, untuk memimpin doa dan menyampaikan khutbah di Masjid Namirah pada Hari Arafah, 8 Julai ini.

    Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi menerusi portalnya memaklumkan bahawa kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz telah mengeluarkan persetujuan tersebut, kelmarin. Sheikh Dr Al-Issa diiktiraf secara meluas sebagai ulama kontemporari yang komited membawa kesedaran global mengenai imej Islam sebenar, selain mempromosikan nilai-nilai kesederhanaan, toleransi dan keharmonian antara agama.

    Dalam akademik, Dr Al-Issa yang merupakan pakar dalam bidang Syariah Islam serta perundangan dan kehakiman sering dijemput memberi syarahan di institusi akademik dan badan intelektual antarabangsa di beberapa negara seluruh dunia. Terkini di Malaysia, beliau turut hadir dalam Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang diadakan di Bandar Sunway, Petaling Jaya minggu lalu, selain mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Khutbah Arafah yang akan dibacakan dalam Bahasa Arab akan bersiaran secara langsung dari Arab Saudi Jumaat ini dengan terjemahan 14 bahasa lain termasuk Bahasa Melayu, Cina dan Tamil. – Bernama

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan), Datuk Idris Ahmad (kanan) dan Sheikh Dr Mohammad Abdul Kareem Al-Issa (dua, kiri) semasa menghadiri Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022. – Bernama
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...