ABU DHABI, 13 MEI – Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan meninggal dunia pada usia 73 tahun hari ini, selepas bertarung dengan penyakit selama beberapa tahun ini.
Presiden negara Teluk itu, yang jarang muncul di khalayak ramai, kemungkinan besar akan diganti oleh adik tirinya, Putera Mahkota Abu Dhabi Mohammed bin Zayed, yang telah pun dilihat sebagai pemerintah de facto UAE.
“Kementerian Hal Ehwal Presiden telah mengumumkan kepada rakyat UAE, negara Arab dan Islam serta dunia mengenai kematian Presiden Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan,” kata agensi berita WAM.
Kementerian mengumumkan perkabungan selama 40 hari, dengan bendera dikibarkan setengah tiang mulai hari ini dan kerja-kerja digantung dalam sektor awam dan swasta untuk tiga hari pertama.
Sheikh Khalifa mengambil alih sebagai presiden kedua UAE pada November 2004, mengganti bapanya sebagai pemerintah Abu Dhabi ke-16, negara terkaya daripada tujuh emiriah persekutuan.
Beliau jarang kelihatan di khalayak umum sejak 2014, apabila beliau menjalani pembedahan selepas mengalami strok, walaupun beliau tetap membuat keputusan berkaitan hal ehwal negara itu. Punca kemangkatannya tidak didedahkan.
UAE, bekas jajahan British yang ditubuhkan pada 1971, telah menjadi negara maju dalam sejarah singkatnya, didorong oleh kekayaan minyak serta kebangkitan Dubai sebagai pusat perniagaan dan kewangan.
“Emiriah telah kehilangan seorang pemimpin berwibawa negara hari ini,” kata Mohammed bin Zayed hari ini.
“Dasar, pencapaian, kebijaksanaan, kemurahan hati serta inisiatif beliau boleh dilihat di setiap penjuru negara… Khalifa bin Zayed, semoga Tuhan memberkati beliau dan memberikannya tempat di syurga.” – AFP