Sheikh Nawaf dilantik Emir baharu Kuwait

BANDAR KUWAIT, 30 SEPT – Kuwait hari ini melantik Emir baharunya, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah, dan bersedia menerima jenazah abang tirinya, Emir Kuwait Sheikh Sabah yang meninggal dunia di Amerika Syarikat pada usia 91 tahun.

Sheikh Nawaf menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Negara sehari selepas kematian Sheikh Sabah, seorang diplomat dan perantara berpengaruh yang memerintah selama 14 tahun.

“Saya berjanji bahawa saya akan berusaha sedaya upaya dalam kuasa saya untuk memelihara Kuwait, keselamatan dan kestabilannya, dan memastikan kedaulatan serta kesejahteraan rakyat,” kata Sheikh Nawaf, 83 tahun, selepas majlis mengangkat sumpah.

Beliau menyeru perpaduan terhadap cabaran-cabaran yang menghadapi rantau, dan berjanji akan mendedikasikan usahanya kepada ‘pendekatan demokratik Kuwait’ dalam ucapan kepada penggubal undang-undang.

Kuwait, tidak seperti negara Teluk lain, mempunyai arena politik berlainan dengan parlimen yang dipilih sepenuhnya yang menikmati kuasa perundangan luas dan boleh mengundi menteri-menteri.

Jenazah Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah dijangka tiba di bandar Kuwait pada lewat hari ini menerusi penerbangan dari Minnesota di mana beliau telah menjalani rawatan di hospital sejak Julai.

Menurut mahkamah diraja, upacara pengebumian akan ‘dikhaskan kepada saudara emir’ – langkah yang bertujuan mengelak perkumpulan orang ramai di tengah pandemik koronavirus.

Negara itu telah memulakan tempoh berkabung 40 hari di seluruh negara. – AFP

Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah memberi tabik kepada orang ramai selepas dilantik sebagai Emir baharu Kuwait pada Perhimpunan Negara di Bandar Kuwait, kelmarin. – AFP