Shell ikrar neutral karbon menjelang 2050

LONDON, 16 APRIL – Syarikat minyak gergasi Inggeris-Belanda, Royal Dutch Shell menjamin hari ini untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050, menyamai komitmen pesaingnya, BP, ketika perubahan iklim mengancam sektor tenaga.

“Jangkaan masyarakat telah beranjak pantas dalam perdebatan sekitar perubahan iklim,” kata Ketua Eksekutif Ben van Beurden dalam satu kenyataan.

“Shell kini perlu pergi lebih jauh bersama cita-cita kami, sebab itu kami berhasrat menjadi perniagaan tenaga emisi sifar bersih menjelang 2050 atau lebih awal. Masyarakat dan pelanggan kami, menjangkakan perubahan terbaik.”

Syarikat itu berkata ia merancang melakukan emisi sifar keseluruhan dari pembekalan semua produknya menjelang 2050 ‘sekurang-kurangnya’.

Ia juga akan berusaha ‘untuk terlibat dengan hasrat masyarakat dalam mengehadkan peningkatan suhu purata kepada 1.5 darjah Celsius, sejajar dengan matlamat Perjanjian Paris terhadap perubahan iklim’.

Shell akan berusaha mengurangkan apa yang digambarkannya sebagai ‘jejak karbon bersih’ bagi produk tenaganya sekitar 65 peratus pada 2050, dan sekitar 30 peratus menjelang 2035.

Ia juga akan mencuba dan mendukung perkhidmatan sektor-sektor dan perniagaan yang juga bertujuan untuk emisi sifar menjelang 2050. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 10 Mac 2020 menunjukkan stesen minyak di Farnborough, London. Royal Dutch Shell berjanji pada 16 April untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050. – AFP