Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Shell LiveWIRE Brunei dan PB rai 31 pelajar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Seramai 31 orang pelajar telah berjaya menamatkan bengkel-bengkel Master Classes Internship Incubation dan diraikan dalam majlis penyampaian sijil yang berlangsung di One Stop Centre, Politeknik Brunei (PB), Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengurus Nilai Dalam Negara, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Hajah Rosita binti Hassan selaku Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei.

    Majlis yang dianjurkan bersama oleh Shell LiveWIRE Brunei dan PB berkenaan, menyaksikan Ketua Sekolah Perdagangan, PB, Haji Mohd Muliadi bin Haji Abdul Hamid menyampaikan ucapan alu-aluannya yang menyatakan kepentingan persefahaman strategik yang harus diadakan bersama institusi-institusi pendidikan dan industri bagi menyokong peranan belia sebagai usahawan berjaya dalam memperkembangkan lagi ekonomi negara pada masa hadapan.

    Sementara itu, Hajah Rosita dalam ucapannya menyampaikan perasaan bangga terhadap pelajar-pelajar PB atas semangat, komitmen dan kematangan yang dipamerkan di sepanjang bengkel berkenaan.

    Beliau juga menyampaikan hasrat untuk menguatkan lagi kerjasama antara industri dan institusi-institusi pendidikan bagi meningkatkan taraf usahawan di Negara Brunei Darussalam.

    Hajah Rosita semasa menyaksikan dengan lebih dekat pameran daripada kumpulan inkubator usahawan semasa majlis yang diadakan di PB, kelmarin. – Gambar serahan Shell LiveWIRE Brunei

    Majlis diteruskan dengan tayangan video dan diikuti dengan penyampaian cenderahati daripada Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon kepada Hajah Rosita serta sesi bergambar ramai dengan pelajar-pelajar sekolah perdagangan yang berjaya menamatkan bengkel itu.

    Hajah Rosita seterusnya berpeluang untuk menyaksikan pameran daripada enam buah kumpulan inkubator usahawan yang terlibat dalam program berkenaan di mana mereka diberikan peluang untuk menubuhkan syarikat serta mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

    Majlis itu diadakan bagi meraikan 31 orang pelajar yang berjaya menamatkan bengkel-bengkel yang telah dikendalikan oleh Shell LiveWIRE Brunei pada Julai hingga September.

    PB dan Shell LiveWIRE Brunei telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 16 Januari 2021 yang bertujuan untuk menyediakan landasan sebagai asas tambahan kepada pembelajaran keusahawanan.

    Selain itu, PB dan Shell LiveWIRE Brunei juga telah lama menjalinkan hubungan kerjasama terutamanya melalui bengkel keusahawanan dan program kepimpinan termasuk pengukuhan pasukan kepada pelajar-pelajar PB.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...