Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Shell LiveWIRE Brunei dan Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) telah memperkukuh komitmen bersama menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada majlis yang dihoskan bersama oleh Shell LiveWIRE Brunei dan PPPMB yang berlangsung di Pejabat PPPMB, Kompleks Perindustrian Fasa II, Kampung Beribi, kelmarin.
MoU itu bermatlamat untuk meningkatkan, memajukan dan mengukuhkan kolaborasi antara kedua-dua belah pihak dalam pelbagai disiplin termasuk program pembangunan dan latihan, pembangunan organisasi serta pembangunan perniagaan.
Pada majlis berkenaan, menandatangani MoU bagi pihak PPPMB ialah Presiden PPPMB, Dr Haji Abdul Latif bin Haji Awang Chuchu dan bagi Shell LiveWIRE Brunei ialah In-Country Value Manager Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei, Hajah Rosita binti Haji Hassan.
Penandatanganan berkenaan telah disaksikan oleh Timbalan Presiden Ekonomi, PPPMB, Haji Suni bin Haji Sulaiman dan Pengurus Program, Shell LiveWIRE Brunei, Awang Abdul Qawiem bin Haji Yacob.
MoU yang baru dimeterai itu akan menjadi rangka kerja umum untuk menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, khususnya dalam bidang-bidang disiplin di antara Shell LiveWIRE Brunei dan PPPMB. Kedua-dua belah pihak berminat untuk membangunkan usahawan pada tahap antarabangsa dan serantau bagi organisasi masing-masing melalui bengkel dan latihan kemahiran keusahawanan.
