Shell potong kos dan perbelanjaan

LONDON, 23 MAC – Royal Dutch Shell berkata hari ini mereka akan memotong kos dan modal perbelanjaan berjumlah berbilion dolar disebabkan oleh pandemik koronavirus yang semakin meruncing, yang turut menyebabkan harga minyak jatuh.

Firma minyak utama Anglo-Dutch mengumumkan dalam kenyataan bahawa mereka akan memotong kos operasi sebanyak AS$3 bilion hingga AS$4 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang, dan akan mengurangkan perbelanjaan tahunan kepada AS$20 bilion dari AS$25 bilion.

“Kami ingin melindungi kakitangan dan pelanggan kami dalam masa kesusahan, kami turut mengambil langkah segera untuk memastikan kekuatan kewangan dan daya pemulihan perniagaan kami,” kata ketua eksekutif, Ben van Beurden.

“Gabungan kemerosotan mendadak permintaan minyak mentah dan bekalan yang semakin meningkat mungkin luar biasa, tetapi Shell telah menempuh pasaran tidak stabil sebelum ini.

“Dalam situasi yang sukar, saya sangat bangga dengan kakitangan dan kontraktor kami di seluruh dunia kerana mereka tetap fokus mengenai keselamatan dan operasi yang boleh diharapkan sementara memastikan kesihatan dan kebajikan mereka serta keluarga mereka, komuniti dan juga pelanggan kami.” – AFP