Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Tuah memihak kepada Shen Cheng Jui apabila memenangi sebuah kereta Nissan Almera dalam majlis cabutan bertuah Pesta Pelancongan ke-39 Anthony Tours (ATTA) di Restoran Deli, Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC), semalam.
Sebelum itu, Shen Cheng Jui bersama sembilan peserta lainnya mencuba nasib untuk mencari sampul surat kemenangan yang diletakkan di sekeliling kereta tersebut.
Menurutnya, ia merupakan kali pertama beliau memenangi hadiah besar, apatah lagi sebuah kereta baru.
“Saya sering membeli tiket pelancongan melalui Anthony Tours kerana kepuasan saya terhadap perkhidmatan mereka selama ini, dengan adanya hadiah ini, saya gembira untuk menerimanya,” ujarnya.
Sementara itu, peserta lainnya turut membawa pulang baucar-baucar pelancongan bernilai $100 hingga $300 dari ATTA.


Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Anthony Tours (ATTA), Anthony Lim Tiong Woon.
Turut hadir di majlis itu ialah Pengurus Pemasaran dan Jualan Royal Brunei (RB), Haji Mohd Shamiruddin bin Haji Sharbini dan Pengurus Besar, Singapore Airlines, Aldrin Arumugam.
Majlis turut menyaksikan Sukarneva Haji Mohd Deli menerima tiket penerbangan ke mana-mana destinasi berhampiran bersama RB dan Awang Mohammad Arif bin Yakub membawa pulang tiket penerbangan ke mana-mana destinasi jauh bersama RB yang telah disampaikan oleh Haji Mohd Shamiruddin.
Manakala itu, Shen Cheng Jui sekali lagi menerima tiket penerbangan ke Taipei bersama Singapore Airlines yang telah disampaikan oleh Aldrin Arumugam.
Promosi Anthony Tours yang berlangsung pada 29 dan 30 April lalu di The Mall, Gadong adalah sempena Ulang Tahun ATTA ke-39 tahun yang mana pelbagai promosi istimewa disediakan di samping berpeluang memenangi kereta Nissan Almera.