BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Autoriti Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dengan tema ‘Budaya Pematuhan, Hari Ini dan Esok’ menyertai Minggu Tenaga sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 yang berjalan hingga esok di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Penyertaan SHENA berkenaan adalah untuk mempromosikan perundangan di bawah mandatnya dan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, serta perkara berkaitan radiasi.
Menurut SHENA, pavilionnya menampilkan pelbagai pameran, kuliah-kuliah mini dan permainan interaktif untuk menjangkau orang ramai dan pihak berkepentingan industri mengenai apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki standard tempat kerja.
Stesen pameran SHENA mempromosikan gambaran keseluruhan mengenai Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 (WHSO,2009) dan Akta Perlindungan Radiasi, Penggal 228 serta peraturan-peraturan di bawahnya yang perlu dipatuhi semua tempat kerja di Brunei Darussalam.
Pameran menarik lain menumpukan pada aktiviti pengionan radiasi di Brunei yang mengetengahkan JAVA Realtime Online Decision System (JRODOS), monitor portal radiasi, pengesan tangan dan peralatan perlindungan diri (PPE) yang tersedia untuk melindungi individu daripada terlebih pendedahan radiasi.
SHENA juga menunjukkan sistem pelaporan prestasi HSE dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi menerusi Portal Pelaporan Perniagaan yang menyediakan platform bagi melaporkan statistik HSE mengenai insiden-insiden di tempat kerja.
