SHENA beriga amalan keselamatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Seramai 700 orang dari pelbagai industri telah menyertai Forum Keselamatan Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) yang diadakan julung kalinya diadakan secara maya sempena ulang tahun SHENA ketiga, baru-baru ini.

Menurut kenyataan SHENA, forum yang berlangsung dari 23 hingga 25 November lalu itu merangkumi tiga tema utama iaitu Bekerja di Ketinggian, Keselamatan dan Kesihatan di Bengkel Automotif dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (WSH) Tempat Kerja dan Penyelaras WSH.

Antara lain tujuan forum adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pematuhan Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 dan peraturan di bawahnya, yang merupakan bahagian utama perundangan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) di Negara Brunei Darussalam.

Menurut SHENA, terdapat kebimbangan yang ketara dalam aktiviti bekerja di tempat tinggi, dari 2013 hingga Oktober 2021, di mana kira-kira 42 peratus daripada kematian di tempat kerja adalah berkaitan dengan jatuh dari tempat tinggi manakala lapan kecederaan serius telah dilaporkan akibat jatuh dari tempat yang tinggi.

Pemeriksa SHENA telah menjalankan beberapa lawatan kawal selia ke tempat kerja, termasuk dan tidak terhad ke tapak-tapak pembinaan.

Para peserta yang menghadiri hari pertama Forum Keselamatan SHENA. – Gambar serahan SHENA

Kebimbangan mengenai aktiviti bekerja di tempat tinggi telah dibentangkan pada hari pertama Forum Keselamatan SHENA di mana penceramah jemputan mengingatkan peserta mengenai cara pengurusan dan mengawal potensi bahaya dan risiko berkaitan HSE mereka secara berkesan dalam aktiviti bekerja di tempat yang tinggi melalui amalan selamat.

SHENA mengongsikan, pada 2019, sebanyak 27 kecederaan direkodkan daripada bengkel automotif dan meningkat kepada 39 pada 2020.

Pembentangan forum turut menyentuh mengenai kriteria, peranan, tugas, kuasa, dan proses pendaftaran pegawai WSH dan penyelaras WSH.

Menurut kenyataan, program outreach berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan SHENA dalam melibatkan pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor industri untuk meningkatkan kesedaran dan meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan di Negara Brunei Darussalam.

Forum juga akan membantu SHENA untuk mengukur pemahaman peserta tentang perundangan negara, topik keselamatan dan kesihatan serta mendapatkan maklum balas membina tentang program outreach masa depan.