Friday, September 27, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    SHENA buktikan komitmen negara dalam penggunaan teknologi nuklear

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA),  bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyertai Persidangan Agung Tahunan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke-68 yang berlangsung di Pusat Antarabangsa Vienna, Austria pada 16 hingga 20 September lalu.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh SHENA, di sini, menyatakan persidangan berkenaan merupakan platform penting bagi pegawai-pegawai kanan dan wakil dari negara-negara anggota IAEA untuk membincangkan serta mempertimbangkan pelbagai isu global mengenai keselamatan dan sekuriti nuklear, pencegahan penyebaran sejata nuklear serta penggunaan teknologi nuklear secara aman.

    Pada persidangan berkenaan, rombongan Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Haji Muhsin bin Haji Ahmad. Semasa penyampaian kenyataan negara dalam sesi plenari persidangan, Haji Muhsin menyatakan sokongan terhadap kerjasama yang sedia ada antara Negara Brunei Darussalam dan IAEA dalam pelbagai bidang termasuk pengukuhan rangka kerja undang-undang Negara Brunei Darussalam, peningkatan rejim keselamatan nuklear negara serta penggunaan teknologi nuklear yang selamat dan aman di Negara Brunei Darussalam.

    Sebagai autoriti kawal selia radiasi negara, penyertaan SHENA dalam persidangan agung IAEA menunjukkan sokongan tidak berbelah negara terhadap usaha IAEA di peringkat global dan kemudiannya dapat meningkatkan profil Negara Brunei Darussalam dalam mempromosikan keselamatan, sekuriti dan perlindungan nuklear di arena antarabangsa.

    Satu pencapaian penting yang dicapai oleh negara pada 2024 adalah penerimaan Negara Brunei Darussalam sebagai ahli kumpulan serantau IAEA Kumpulan Asia Tengara dan Pasifik (SEAP) yang diketuai oleh Pengerusi Komanwel Australia. Pencapaian utama itu, mendapat pujian daripada banyak negara anggota IAEA semasa persidangan berkenaan.

    Rombongan Negara Brunei Darussalam juga mengadakan pertemuan kehormat bersama Ketua Pengarah IAEA, Tuan Yang Terutama Rafael Mariano Grossi yang juga mengucapkan tahniah kepada negara atas peningkatan pembangunan aplikasi berkaitan nuklear di negara dan menggalakkan penyertaan serta sokongan berterusan terhadap pelbagai inisiatif di bawah IAEA khususnya Tindakan Bersepadu Penyakit Zoonotik (ZODIAC).

    Bersempena dengan persidangan agung berkenaan, SHENA telah menyertai beberapa mesyuarat dua hala utama dengan IAEA untuk membincangkan kerjasama sedia ada di antara Negara Brunei Darussalam dan IAEA dalam kawal selia radiasi.

    IAEA telah menyatakan sokongan dan bantuan kepada negara dalam memperkukuhkan infrastruktur keselamatan dengan merangka pelan kelestarian keselamatan nuklear bersepadu (INSSP) untuk negara ini di samping memuji usaha negara dalam memperkukuhkan rangka kerja undang-undang nuklear negara dengan memulakan penelitian Akta Perlindungan Radiasi, Bab 228.

    SHENA telah memberikan jaminan kepada IAEA mengenai sokongan padu negara terhadap usaha-usaha global dalam rejim pencegahan penyebaran senjata nuklear dan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk memastikan pematuhan kepada perjanjian perlindungan yang telah disimpulkan bersama IAEA.

    Negara Brunei Darussalam kekal komited terhadap tanggungjawab sebagai ahli IAEA dan menyokong pelbagai inisiatif yang mempromosikan penggunaan aplikasi nuklear yang selamat, terjamin dan aman di Negara Brunei Darussalam serta di peringkat global.

    Haji Muhsin bersama Tuan Yang Terutama Rafael Mariano Grossi.
    Gambar ramai Haji Mohsin bersama rombongan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN SHENA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda