Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Usaha terus dilaksanakan oleh Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) untuk mencapai piawaian-piawaian yang tinggi dalam keselamatan dan kesihatan tempat kerja (WSH) dengan melancarkan Kod Amalan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja serta Pendaftaran bagi WSH yang berlangsung di Auditorium Bangunan Rekaan dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan pelancaran kod amalan serta pendaftaran berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Haji Muhsin bin Ahmad, pengurusan kanan, pegawai dan kakitangan SHENA serta wakil-wakil daripada sektor swasta.
Dengan pelancaran kod amalan berkenaan, SHENA menekankan fungsi kod amalan yang bertindak sebagai panduan dan rujukan bagi pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan menggunakan pendekatan yang sistematik untuk mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko bagi mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.
Garis panduan komprehensif itu menekankan 14 elemen penting berkaitan dengan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan yang berkesan seperti yang digariskan dalam Jadual Kedua Peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Peruntukan Am) serta kepentingan komitmen di peringkat pengurusan melalui dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Kod amalan berkenaan telah diedarkan kepada organisasi sektor swasta yang berkaitan dengan juga tersedia di laman sesawang SHENA.
Ia bukan sahaja sebagai rujukan untuk Juruaudit WSH tetapi ia juga sebagai alat praktikal untuk organisasi yang ingin mencapai penambahbaikan berterusan dalam prestasi keselamatan tempat kerja.
Sempena pelancaran kod amalan berkenaan, SHENA turut mengumumkan pendaftaran Juruaudit WSH di mana ia merupakan satu keperluan di bawah Bab 32 Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Penggal 277) dan juga akan mendukung matlamat kod amalan, yang mana juruaudit berdaftar bertanggungjawab bagi melaksanakan pengauditan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.