SHENA nasihatkan perusahaan pembinaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Di bawah Program Outreach, Better Be Safe Than Sorry, the SHENA Story, Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah mengadakan forum bagi perusahaan-perusahaan pembinaan yang berhasrat untuk berkolaborasi dan membangunkan Brunei yang lebih baik menerusi pematuhan HSE.

Seramai 144 orang daripada perusahaan kelas 3 hingga 6 yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan dan Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) telah menyertai acara tersebut yang berlangsung di Pusat Latihan Kementerian Pembangunan.

Menurut kenyataan yang diberikan, acara memfokuskan ke atas meningkatkan kesedaran dan kepentingan perkara berkaitan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar (HSE) di tempat kerja.

Kenyataan menambah, objektif utama forum berkenaan adalah untuk membimbing dan menasihatkan perusahaan-perusahaan pembinaan mengenai isu-isu keselamatan pembinaan dan nilai yang diperolehi dalam meningkatkan profil mereka dan mewujudkan peluang-peluang perniagaan apabila mereka mematuhi undang-undang HSE di tempat kerja yang berkaitan.

Acara itu mengingatkan majikan, penghuni dan prinsipal yang terlibat dalam aktiviti berkaitan pembinaan mengenai kebertanggungjawaban mereka di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009

Mereka juga dinasihatkan untuk mengkaji semula amalan-amalan operasi dan pengurusan selamat dan memastikan mereka menggunakan amalan-amalan industri yang baik serta mengekalkan sistem yang sesuai dan selamat di tapak-tapak kerja.