Shenzhen beralih kepada teksi elektrik

SHENZHEN – Salah sebuah bandar utama di China telah berjaya mencapai satu kemajuan yang memberangsangkan khususnya terhadap teknologi mesra alam sekitar iaitu penciptaan sebuah armada teksi yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya.

Hub berteknologi tinggi Shenzhen di Selatan China itu telah mengumumkan bahawa pada awal tahun ini ia telah mencapai 99 peratus daripada 21,689 buah teksi, yang beroperasi di bandar itu, adalah kenderaan yang dijanakan oleh kuasa elektrik.

Pada tahun lepas, bandar teknologi itu masih mempunyai sekitar 7,500 teksi bertenaga petrol di jalan raya. Beberapa buah kereta bertenaga petrol masih digunakan di bandar teknologi itu namun kereta elektrik jauh lebih banyak berbanding kereta petrol.

Kota metropolis yang mempunyai 12.5 juta penduduk itu merupakan bandar kedua yang telah berjaya mencapai prestasi tersebut di China dan sehingga ke hari ini masih yang terbesar.

“Bandar Taiyuan di Utara China, dengan populasi 4.3 juta, hanya mempunyai beberapa buah teksi elektrik sejak tahun 2016 lagi dan Shenzhen telah menerajui beberapa buah bandar-bandar utama di China,” kata Cui Dongshu, Setiausaha Agung Persatuan Kereta Penumpang China kepada media.

Shenzhen telah mengumumkan bahawa pada awal tahun ini ia telah mencapai 99 peratus daripada 21,689 buah teksi yang dijanakan oleh kuasa elektrik. – AP

Kira-kira 20,000 stesen pengecasan awam telah dibina, yang mana sudah cukup untuk memenuhi sebahagian besar permintaan orang ramai yang ingin mengecas kenderaan elektrik mereka. – AP

Beberapa buah bas Shenzhen telah berubah menjadi bas elektrik sejak tahun 2017 di bandar itu.

Ia merupakan salah satu daripada 13 buah bandar perintis yang mempromosikan pengangkutan awam dengan menggunakan tenaga alternatif untuk mengurangkan pengeluaran asap dan membangunkan lagi industri tenaga alternatif, menurut Jawatankuasa Pengangkutan Perbandaran Shenzhen kepada media.

Mengurangkan lagi pencemaran

Beijing dan bandar-bandar China yang lain dipenuhi dengan penduduk yang menggunakan skuter, basikal dan kenderaan beroda tiga elektrik dalam usaha mereka untuk membantu mengurangkan pelepasan wasap dan kadangkala mengejutkan para pejalan kaki disebabkan enjin pengangkutan tersebut yang sunyi dan senyap.

Penggunaan sekitar 20,000 teksi elektrik di bandar tersebut akan dapat mengurangkan pelepasan karbon di mana sebelum ini kira-kira 850,000 tan setahun telah dikeluarkan di bandar itu, kata jawatankuasa pengangkutan bandar itu. Walau bagaimanapun, inisiatif semua pengangkutan elektrik tidak termasuk perkhidmatan pengangkutan dan perkhidmatan pengangkutan seperti uber yang terkenal di China.

Selain itu, pihak kerajaan bandar tersebut turut menyediakan tempat untuk kereta-kereta teksi elektrik ini bagi mengecas kenderaan mereka namun ia agak sedikit mencabar apatah lagi semenjak Shenzhen melancarkan sekitar 100 teksi elektrik pertama pada tahun 2010.

Kemudahan orang ramai

Cui telah memuji akan kehebatan bandar tersebut kerana telah menyediakan kira-kira 20,000 stesen pengecasan awam, di mana sudah cukup untuk memenuhi sebahagian besar permintaan orang ramai yang ingin mengecas kenderaan elektrik mereka.

Teksi elektrik itu turut dilengkapi dengan ‘terminal on-board’ yang akan memaklumkan pemandu tentang kekurangan teksi di beberapa buah lokasi seperti kawasan lapangan terbang, stesen kereta api atau di beberapa lokasi yang lain.

Selain itu, orang ramai akan dapat melihat paparan harga tambang dan laluan teksi, di mana ahli jawatankuasa pengangkutan Shenzhen berkata bahawa ia akan membantu mencegah pemandu daripada memandu di laluan yang tidak diperlukan dan membuang sumber tenaga dengan sia-sia.

Shenzhen malah merupakan ‘rumah’ kepada Huawei Technologies dan pelbagai lagi syarikat teknologi China yang lain. – AP