Shiffa sasar pasaran Brunei

GEORGE TOWN, 25 JUN – Shiffa Enterprise, pengeluar rempah kari dan cili giling jenama Shiffa mahu memperluaskan pasarannya ke pasaran antarabangsa dan menyasarkan Brunei untuk memperkenalkan produk mereka.

Pengasasnya, Nor Faridah Sariff berkata Brunei menjadi pilihan syarikat itu untuk melebarkan sayap perniagaan berikutan produk keluaran syarikatnya mula mendapat perhatian masyarakat di sana.

“Saya bermula dengan modal yang diberikan oleh ibu bapa saya sebelum mendapat bantuan ‘sticker’ daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Perniagaan mula mengorak langkah apabila saya mendapat bantuan mesin memasak cili daripada Jabatan Pertanian dan kini saya mampu membuka kilang di sini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian kilang Shiffa Enterprise di Bayan Lepas di sini  hari ini.

Katanya beliau kini sedang meningkatkan pengetahuan untuk memasuki pasaran eksport dan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk merealisasikan hasrat tersebut. Nor Faridah berkata perniagaan rempah itu merupakan perniagaan warisan turun temurun daripada moyangnya dan beliau merupakan generasi keempat yang menjalankan perniagaan tersebut.

“Istimewanya rempah kari daripada Shiffa Enterprise ialah ia amat mudah.

“Pengguna hanya perlu tambah air dan tidak perlu memasukkan halba campur, jintan, serbuk cili dan daun kari kerana semuanya sudah ada dalam rempah kari keluaran syarikat kami,” katanya. – Bernama