Shiha tidak letak sasaran bila berkahwin

Cinta penyanyi jolokan Rossa Malaysia, Shiha Zikir, 34, terhadap jejaka bernama Kamarul Arifin Baharun atau Arul, 36, tidak pernah ‘terhempas’ biarpun sudah melakar nama di peringkat antarabangsa.

Di kala masih merangkak dan tiada siapa pandang, Arul satu-satunya lelaki yang mempercayai bakat besarnya. Berdiri teguh bukan sekadar bergelar ‘cinta hati’, malah menggalas tanggungjawab sebagai pengurus dalam memastikan penyanyi berwajah jelita, bersuara listrik dan fizikal menawan itu terus mendaki satu demi satu tangga populariti.

Diam tak diam, hubungan cinta Shiha dan Arul kini melangkaui usia 12 tahun. Arul bagaikan cinta sejati dan tidak mampu dipisahkan, namun sejauh ini, apakah kesudahan perhubungan tanpa ikatan yang sah?

Hanya tersenyum diajukan persoalan hati, Shiha mengakui, “Saya tidak mahu terlalu terburu-buru dalam soal mendirikan rumah tangga.

“Bukan tidak mahu, sebaliknya belum masanya. Mungkin ramai yang ketawa sinis apabila saya mengatakan belum sampai seru, tetapi tiada apa yang perlu dikejarkan.

Shiha mengakui dia tidak mahu terlalu terburu-buru dalam soal mendirikan rumah tangga. – Agensi

“Sejauh mana saya melangkah, Arul tetap menjadi orang penting dalam hidup saya. Jadi, saya dan Arul tidak terdesak untuk menamatkan hubungan dengan memasuki fasa perkahwinan.

“Saya amat bersyukur Arul sangat memahami dan tidak pernah memaksa dalam soal perkahwinan. Malah, menjadi pembakar semangat untuk melakar kejayaan terlebih dahulu.

“Jika ikutkan, saya masih banyak perkara yang perlu dikejar dalam hidup, termasuk kerjaya dalam arena seni,” katanya kepada media.

Pemenang trofi Pop Asia Terbaik, InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 di Los Angeles, Amerika Syarikat itu berkata, kekasihnya seorang yang berfikiran terbuka. Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir berkata, dia selesa untuk tidak meletakkan sasaran bila mahu berkahwin.

Mengulas tindakan deretan selebriti memilih menghalalkan hubungan pada era pandemik, wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, dia tumpang gembira ramai teman artis berkahwin walaupun melalui detik sukar COVID-19 masih menular.

Naib juara dan bekas protege Allahyarham Datuk Sharifah Aini dalam menerusi program Mentor musim kelima itu berkata, dia sentiasa terbuka dan berterus-terang soal peribadi.

“Semua orang tahu saya jenis suka berterus-terang. Tiada apa yang diselindungi selama ini. “Saya pernah cakap mahu berkahwin penghujung tahun, tetapi ia belum menjadi kenyataan.

“Jadi penghujung tahun bila, itu belum dapat dipastikan. Jika sampai masa yang ditunggu, saya pasti berkongsi. Saya bukan makin muda,” katanya.

Baru sahaja melancarkan single baharu berjudul Irama, Shiha berkata, awalnya merancang mengeluarkan single berentak balada atau tradisional. – Agensi