Shima Anuar panik selepas disahkan positif COVID-19

Selepas beberapa hari menjalani kuarantin sendiri di rumah, pelakon Shima Anuar berkongsi pengalaman ketika disahkan dijangkiti wabak COVID-19 baru-baru ini.

Pelakon berusia 30 tahun itu mengakui dia berasa panik sehingga badannya menggigil sebaik sahaja keputusan ujian saringan menunjukkan dirinya positif. Malah, pelakon Highland Tower ini sudah menyediakan barang keperluan sekiranya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang mengambilnya untuk ke hospital.

“Seperti yang saya kongsikan sebelum ini, hari Jumaat lalu, saya susah nak bernafas walaupun saya tak ada asma tapi badan panas sikit. Buat ujian saringan pada Sabtu dan Ahad dapat keputusan positif.

“Masa itu saya cuak, takut, panik, badan menggigil dan takut sangat sampai saya menangis. Sambil menangis saya hubungi suami yang ketika itu keluar beli barang. Saya dah sediakan beg sekiranya ambulan nak datang ambil.

“Suami balik, terus sembur satu rumah dengan pembasmi kuman. Dia nampak tenang walaupun saya panik. Sepatutnya kena macam itu, tak perlu panik… baru boleh fikir nak buat apa selepas itu,” katanya.

Shima berkongsi mengenai perkara itu menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Sebelum ini, Shima mendedahkan dia mengalami kesukaran untuk bernafas dan sakit kepala sebelum mengambil keputusan untuk melakukan ujian saringan COVID-19.

Menerusi laporan wartawan baru-baru ini, Shima memberitahu dia berasa sedih apabila disahkan positif memandangkan dirinya tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pesakit COVID-19. – Agensi

Shima memberi tip kepada sesiapa yang dijangkiti COVID-19 supaya tidak berasa panik. – Agensi