Shima tetap sabar jualan makanan tak laku

“Saya tak terasa hati. Saya tiada nama. Orang pun dah tak kenal. Saya tak ramai pengikut dan tak boleh nak paksa orang untuk beli,” kata penyanyi Shima, 52, mengenai sambutan dingin masyarakat terhadap perniagaan makanan yang diusahakannya sejak Julai lalu.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman berkata, dia memahami peminat hanya menyokong artis popular dengan membeli apa yang dijual.

“Tapi mereka yang buat tempahan daripada saya pasti tak menyesal. Mereka tahu hasil air tangan saya memuaskan hati. Ini kerana saya hanya beli barang yang berkualiti untuk pembeli. Bagaimana saya memasak untuk suami, begitulah juga yang saya buat untuk mereka.

“Memasak untuk orang kena ikhlas dan bukan sekadar asal boleh. Namun, saya mengakui sudah lama tiada tempahan daripada pelanggan,” katanya.

Shima yang popular dengan lagu Teringin menghasilkan makanan barat di bawah jenama Petite Kitchen by Shima yang dijual secara dalam talian.

Shima menjual makanan barat secara dalam talian. – Agensi

Antara yang dihasilkan ialah creamy Australian lamb shank dan kentang lenyek yang dijual dengan harga RM90.

Dia merancang untuk memulakan perniagaan kek, biskut dan gubahan bunga hasil air tangan dan kerja tangan selepas ini.

“Saya ada pengalaman masak makanan barat kerana pernah dua kali bersuamikan lelaki warga Australia dan Kanada.

“Bayangkan setiap hari memasak makanan mereka, jadi banyaklah pengalaman yang saya kutip. Saya juga belajar dengan bekas mentua masakan harian mereka.

“Selain itu sejak kecil lagi saya dah mula masak. Maklumlah orang kampung, ibu bapa memang tak manjakan saya,” katanya.

Menurutnya, pembeli masakannya agak beruntung kerana dia memberikan makanan dalam kadar yang banyak.

“Memang tak rugi beli. Saya pula tak pandai nak masak dalam kadar sikit. Setakat ini pembeli hanyalah kawan-kawan rapat saya. Mereka kemudian mempromosikannya,” katanya. – Agensi