Shin Shin lahir anak panda kembar

TOKYO, 23 JUN – Seekor panda di Zoo Ueno Tokyo melahirkan anak kembar hari ini, beberapa minggu selepas berita kehamilan Shin Shin mendorong saham dalam sebuah restoran berhampiran meningkat.

Kembar panda itu dilahirkan pada awal pagi ini, kata zoo dalam satu kenyataan, menambah ia masih belum mengesahkan jantina pasangan itu. Pengarah zoo, Yutaka Fukuda berkata kelahiran anak kembar itu merupakan yang pertama di Zoo Ueno.

“Apabila saya mendengar berita bahawa anak kedua dilahirkan, saya tidak dapat menyembunyikan kegembiraan saya,” beritahunya kepada pemberita.

Salah seekor anak panda, dengan berat 124 gram, diletakkan dalam inkubator, kata jurucakap zoo Naoya Ohashi pada sidang media.

Ibu panda ‘berada dalam keadaan sihat dan sedang menjaga’ anaknya, tambah beliau. Apabila panda mempunyai anak kembar, ia biasanya menjaga seekor, ‘jadi kami akan memastikan ibu panda menyusui seekor anak sementara kami menempatkan seekor lagi dalam inkubator,” kata Ohashi.

Penjaga zoo akan bergilir-gilir menempatkan anak panda dalam inkubator supaya kedua-duanya boleh mengalami penyusuan semula jadi, tambahnya. – AFP

Gambar serahan Persatuan Taman Zoologi Tokyo menunjukkan kakitangan zoo meletakkan salah seekor anak panda dalam inkubator di Zoo Ueno kelmarin. – AP