Shinny Chia finalis anugerah Shell Livewire TTI 2020

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Usahawan muda dari Negara Brunei Darussalam, Shinny Chia dari The Collective Arts Events telah disenarai pendekkan antara 21 orang finalis bagi Anugerah Shell LiveWIRE Top Ten Innovators (TTI) 2020, pertandingan global yang mengetengahkan dan memberikan penghargaan kepada perusahaan yang mempamerkan kecemerlangan dalam inovasi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LiveWIRE Brunei, di sini, sebanyak 136 permohonan telah diterima dari 15 buah negara bagi menyertai pertandingan berkenaan.
Kenyataan menjelaskan bahawa The Collective menggunakan kempen kreatif untuk menjana sinergi dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan Brunei (NGOs) dan membawa kesedaran serta impak kepada gerakan sosial, ekonomi dan alam sekitar termasuk keusahawanan, memperkasakan wanita, kesedaran mengenai isu-isu kepelbagaian dan keterangkuman.

Kenyataan turut menyatakan bahawa antara mercu tanda yang dicapai oleh The Collective sejak 2014 adalah memulakan ruang pembuat kreatif pertama di Brunei, diketengahkan dalam akhbar tempatan bagi sumbangan mereka kepada industri kreatif, mewakili Brunei dalam International Visitors Leadership Programme, penerima Anugerah Pemenang Ricebowl dan melancarkan platform tanggungjawab sosial korporat digital bersama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Community for Brunei, yang direka untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Brunei semasa pandemik COVID-19 bagi mendigitalkan perniagaan mereka terutamanya bagi perniagaan yang dikendalikan oleh keluarga kurang berkemampuan untuk membangunkan pendapatan stabil bagi mereka serta untuk menyediakan pekerjaan dalam rangkaian rantaian pembekalan.

Kenyataan menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada komitmen Shell untuk memberikan respons kepada keperluan global yang terus berubah di mana pertandingan Top Ten Innovators 2020 menumpukan kepada Creating a More Liveable World, termasuk menyokong usahawan semasa pandemik COVID-19.

Ke arah itu, penyelesaian yang membawa transformasi yang menangani impak langsung dan tidak langsung kepada pandemik berkenaan adalah amat berharga.

Kenyataan menjelaskan lanjut bahawa 10 pemenang pertandingan berkenaan akan ditentukan menerusi undian orang ramai yang dibukakan bermula esok (7 September) hingga 16 September.

Orang ramai boleh menunjukkan sokongan mereka bagi The Collective Art Events dan mengundi bagi perniagaan tempatan menerusi https://www.livewire.shell/topteninnovators.

Ranking berkenaan akan ditentukan oleh panel hakim pakar yang akan diumumkan semasa Minggu Keusahawanan Global 2020.

Pengguna boleh menggunakan sekali bagi setiap alamat e-mel dan akaun media sosial di mana jika mempunyai satu akaun e-mel, satu akaun Twitter dan satu akaun Facebook, mereka boleh mengundi sebanyak tiga kali iaitu sekali menerusi setiap saluran berkenaan.

Shiny Chia, usahawan muda tempatan dari The Collective Art Events yang merupakan di antara 21 orang finalis bagi Anugerah Shell LiveWIRE Top Ten Innovators 2020. – Gambar serahan LiveWIRE Brunei