Shopee catat hasil jualan pertanian, perikanan bernilai RM250,000

KUALA LUMPUR, 22 MEI – Nilai hasil jualan pertanian dan perikanan menerusi platform e-dagang Shopee Malaysia bagi dua kedai rasmi Agrobazaar Fama dan Nekmat mencecah RM250,000.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjalinkan usaha sama dengan Shopee itu sebagai langkah jangka panjang untuk melindungi kebajikan petani dan nelayan.

Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas, Shopee Malaysia, Tan Ming Kit berkata usaha sama yang bermula bulan lepas sehingga 15 Mei telah merekodkan hampir 2,000 pesanan di sekitar Lembah Klang.

“Buat masa ini, penduduk Lembah Klang yang membuat pesanan di kedai-kedai ini sebelum pukul 12 tengah hari akan menerima produk mereka pada hari berikutnya (kecuali hujung minggu dan cuti umum),” katanya kepada pemberita di Pejabat Fama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/ Putrajaya, di sini.

Beliau berkata jika berlaku permintaan tinggi pada masa hadapan pihaknya bersedia untuk berunding bagi menetapkan masa penghantaran yang lebih pantas dan efisien.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kunjungan rasmi ke pejabat tersebut turut berkata urus niaga menerusi dalam talian kini menjadi normal baharu bukan sahaja bagi petani, usahawan dan nelayan malah pengguna. – Bernama