Shopee24 sasar pertumbuhan 100%

KUALA LUMPUR, 24 JUN – Shopee, platform e-dagang terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara, berhasrat mencapai sasaran pertumbuhan 100 peratus pendapatan tahun ke tahun dengan pengenalan Shopee24 Express Delivery (Shopee24).

Perkhidmatan itu menjamin penghantaran hari berikutnya kepada pengguna, sekali gus mengubah cara rakyat Malaysia membeli-belah dalam talian.

Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Marianne Chuo berkata pengguna bukan saja mahu menerima barangan dibeli dalam keadaan baik, malah turut mengharapkan penghantaran lebih cepat, apabila membeli-belah dalam talian.

“Shopee24 menjamin penghantaran hari berikutnya kepada pengguna jika pesanan dibuat sebelum 2 petang kecuali Ahad dan hari cuti umum, dan sekiranya kami tidak memenuhi perkhidmatan itu, penghantaran akan dibuat secara percuma, katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Shopee24 dan kempen Shopee 7.7 Orange Madness baru-baru ini.

Shopee 24 menawarkan lebih 10,000 barangan berjenama seperti Nescafe, Dutch Lady, Drypers, Dove, Dettol, Khind, serta Philips dan pengguna boleh mengenal pasti barangan tersebut menerusi ‘tag’ Shopee24.

Chuo berkata untuk permulaan, Shopee24 ditawarkan kepada pembeli di Lembah Klang, sebelum diperluas ke seluruh negara.

Bagi meraikan pelancaran Shopee24 dan memastikan tawaran terbaik, Shopee juga memperkenal kempen Shopee 7.7 Orange Madness bermula 24 Jun hingga 7 Julai. – Bernama