‘Show’ Jamal Abdillah batal gara-gara kemelut politik

Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah mendakwa beberapa acara persembahan anjuran kementerian yang sepatutnya dijayakannya, dibatalkan berikutan kemelut politik negara.

Jamal berkata, ada sebuah acara di Tangkak, Johor, turut dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga mengawal COVID-19.

“Ada empat persembahan saya di beberapa negeri dibatalkan berikutan keadaan politik semasa.

“Saya anggap bukan rezeki… InsyaAllah, ada rezeki lain pada kemudian hari,” katanya pada sidang media konsert amal, Alunan Irama di Istana Budaya (IB) di sini, hari ini.

Acara itu bakal menggandingkan Jamal dengan Dayang Nurfaizah, selain penyanyi undangan, Datuk Yusni Hamid dan Haziq Rosebi pada 11 April depan.

Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah mendakwa beberapa acara persembahan anjuran kementerian akan dibatalkan berikutan kemelut politik negara. – Agensi

Konsert Alunan Irama dianjurkan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak; Persatuan Karyawan Malaysia (KAR-YAWAN); Educaring Team, Pejabat Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan IB.

Difahamkan, konsert itu sepatutnya dipentaskan dua malam, namun, disebabkan perkembangan semasa, acara itu diadakan satu malam sahaja.

Mengulas mengenai konsert itu, Jamal berkata, acara amal itu bertujuan meningkatkan pembangunan pendidikan di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

“Selain pembangunan pendidikan, bantuan juga akan disalurkan kepada ahli KARYAWAN.

“Kita juga mengundang golongan asnaf, kumpulan B40 dan kurang upaya menyaksikan konsert ini,” katanya.

Jamal berkata, beliau diberi slot 30 minit untuk membuat persembahan solo pada konsert itu. Namun, Jamal tidak keberatan berduet dengan Dayang jika diberi peluang.

“Jika diikutkan, bagi tempoh 30 minit, saya boleh menyanyikan lima lagu. Namun, jika ada permintaan berduet dengan Dayang, saya okay.

“Seingat saya, lapan tahun lalu, saya pernah undang Dayang menyanyi bersama di IB. Kami mendendangkan lagu Kehebatan Cinta dan Sandarkan Pada Kenangan,” katanya. – Agensi