Shuib belajar kawal emosi demi anak

Sangkanya, hati sudah cukup kental melawan rindu yang bertandang selepas pemergian isteri tercinta, kira-kira sebulan lalu.

Namun, hakikat yang harus ditelan pelakon dan pelawak, Shuib Sepahtu adalah biar apapun yang dilakukan, sukar untuknya memadam kenangan yang pernah dicipta bersama Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat COVID-19, pada 9 Ogos lalu.

Akui Shuib, hingga saat ini, satu demi satu momen manis yang pernah dilalui bersama, jelas terbayang di ruang mata, persis wayang gambar yang berputar.

“Selepas pemergian isteri, hari-hari saya dengar lagunya, tatap foto dan menonton video arwah. Itulah rutin yang saya lakukan demi mengubat rasa rindu.

“Namun, memasuki minggu ketiga, saya tahan diri untuk tidak meneruskan rutin itu. Bukan mahu melupakannya, tetapi saya tidak mahu terus menyeksa diri mengenang arwah dengan cara begitu,” luahnya.

Shuib berkata satu demi satu momen manis yang pernah dilalui bersama isteri jelas terbayang di ruang mata. – Agensi

Kekuatan yang cuba ditanam dalam diri itu bagaimanapun tewas terutama ketika berdepan anak-anak yang masih belum mengerti sepenuhnya erti kehilangan ibu.

“Apabila ditanya ke mana pergi ibu, saya cuba menjawab soalan itu sebaik mungkin agar mereka faham. Namun, biasalah kanak-kanak, ada ketika apabila rasa rindu datang, mereka akan bertanya soalan yang sama berulang kali.

“Berdepan situasi itu sebenarnya mencabar emosi saya. Ada ketika, saya sendiri tidak tahu penjelasan bagaimana lagi yang harus diberikan terutama apabila setiap pertanyaan diajukan, berakhir dengan tangisan.

“Walaupun cuba untuk tunjuk yang saya cukup kuat, namun, melihat wajah sayu anak-anak, saya jadi sedih. Sudahnya, saya menangis bersama mereka,” katanya.

Hasil perkongsian hidup bersama Siti Sarah, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan secara pramatang.

Tambah Shuib, doa mereka tidak pernah putus dipanjangkan kepada arwah dengan harapan rohnya tenang bersama mereka yang beriman. – Agensi