Shuib buat pertama kali kongsi wajah anak bongsu

Pelawak, Shuib Sepahtu buat pertama kalinya berkongsi wajah anak bongsunya, Ayash Affan dalam satu video berdurasi dua minit lapan saat di Instagram.

Dalam hantaran itu, Shuib menulis keterangan ringkas dan mewakili anaknya untuk mengucapkan terima kasih atas doa-doa orang ramai.

“Assalamualaikum. Nama saya Ayash Affan bin Shahmira. Terima kasih kerana mendoakan kesejahteraan saya,” tulisnya.

Dalam video itu, kelihatan Ayash yang sedang nyenyak tidur di katil anak damit berpakaian serba putih.

Dilatari lagu Anakku dendangan Vina Panduwinata, video itu dilihat menyentuh emosi setiap yang menontonnya. Selepas dua jam pertama ia dimuat naik, video itu diulang tonton hampir 200,000 tontonan di Instagram. Ribuan komen warganet dan rakan-rakan artis membanjiri ruangan komen dan semuanya mendoakan agar Ayash akan membesar menjadi anak soleh.

Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu secara pembedahan, tiga hari sebelum ibunya yang juga penyanyi, Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir.

Shuib dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 201. Selain Ayash, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6. – Agensi

Wajah Ayash Affan dalam satu video yang dikongsi di Instagram milik Shuib. – Agensi